KANGAR: Tiga beranak yang lemas di Sungai Arau semalam, dipercayai meminum racun sebelum terjun ke sungai berkenaan akibat bebanan hutang.

Perkara itu berdasarkan keterangan awal anak lelaki mangsa berusia 37 tahun kepada polis selepas dia ditahan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah, malam tadi.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd, berkata penahanan lelaki berusia 37 tahun itu dilakukan di sebuah restoran di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, kira-kira jam 10 malam selepas polis mendapat maklumat awam.

Katanya, berdasarkan keterangan lelaki terbabit, mereka sekeluarga menaiki kereta api dari Sungai Petani ke Arau pada pagi Selasa lalu, sebelum bertindak meminum racun dan terjun ke Sungai Arau.

“Bagaimanapun lelaki berkenaan berubah fikiran selepas melihat ibu, bapa dan adiknya terjun ke sungai berkenaan sejurus meminum racun.

“Akibat terlalu takut dia mengambil keputusan balik ke Sungai Petani menaiki kereta api pada Rabu pagi sebelum dikesan orang ramai malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Mushar berkata, berikutan itu lelaki berkenaan direman bermula hari ini hingga 22 Oktober bagi membantu siasatan berhubung kematian keluarga berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh diri dan Seksyen 35(e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 kerana menyembunyikan kematian,” katanya.

Semalam NSTP melaporkan mayat tiga beranak, Baharom Ahmad, 66, Norma Pin, 64, dan Norzalina Baharom, 35, ditemui orang awam terapung di sungai di dua lokasi berlainan di Arau.

Tiga beranak berkenaan kali terakhir dilihat saudara mereka sedang berjalan kaki di tepi sungai berkenaan kira-kira tiga kilometer dari rumah saudara mereka sebelum dilaporkan hilang – berita harian