KENINGAU: Tiga beranak termasuk seorang bayi melecur selepas rumah mereka di Kampung Lino Lanas, di sini, terbakar malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, Yesmin Jubilik, 26, melecur di bahagian kaki, manakala isterinya Petronella Jems, 38, melecur di bahagian tangan serta kaki dan bayi perempuan mereka berusia 11 bulan pula melecur pada bahagian muka.

Difahamkan, selain tiga mangsa yang melecur, tiga lagi ahli keluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki berada di rumah itu, namun sempat menyelamatkan diri.

Jiran mangsa, Jutin Antaim, 46, berkata dia terlihat api mulai marak dari rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mangsa sebelum menghubungi bomba.

“Saya cuba membantu memadamkan api tetapi sukar mendapatkan sumber air dan api merebak pantas,” katanya.

Jutin berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Tulid oleh penduduk kampung sebelum dikejarkan ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

“Selain itu, dokumen dan barang mereka juga gagal diselamatkan berikutan api terlalu marak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian itu melalui talian kecemasan 999 pada jam 8.27 malam.

“Sepasukan anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi yang terletak 80 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Keningau.

“Sebaik tiba, kebakaran didapati memusnahkan sebuah rumah dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 10.44 malam,” katanya.

Khatizah berkata, pihaknya turut menerima laporan tiga mangsa cedera dalam kejadian itu dan mereka sudah dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba – berita harian