AMPANG JAYA: Dua wanita tidak sempat ‘melancong’ ke Korea Selatan apabila mereka ditahan bersama seorang lelaki kerana cuba menyeludup keluar 5.1 kilogram (kg) syabu bernilai RM255,000 dalam serbuan di sebuah bilik hotel dekat Pandah Indah, dekat sini, tengah malam tadi.

Ketika serbuan jam 12 tengah malam itu, kedua-dua suspek berusia 26 dan 31 tahun yang juga dipercayai keldai dadah sedang melekatkan 20 paket dadah di badan dengan dibantu seorang lelaki.

Lelaki terbabit juga dipercayai keldai dadah yang sedang bersiap-siap untuk berlepas ke Busan, Korea Selatan, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata serbuan dibuat hasil maklumat dan risikan yang dijalankan sejak hampir dua bulan lalu mengenai aktiviti sindiket yang merekrut keldai dadah rakyat tempatan untuk membawa dadah ke Korea Selatan.

“Cara mereka menyeludup adalah dengan melekatkan paket dadah itu pada beberapa bahagian anggota badan menggunakan pita pelekat, selain memasukkannya ke dalam pakaian dalam.

“Hasil siasatan mendapat, semua suspek tidak mengenali antara satu sama lain.

Kamarul Zaman menunjukkan gambar suspek yang menyimpan dadah jenis syabu pada sidang media berkenaan rampasan dadah di IPD Ampang Jaya. – Foto BERNAMA

Antara barang rampasan dipamerkan pada sidang media di IPD Ampang Jaya. – NSTP/Azhar Ramli

Antara barang rampasan dipamerkan pada sidang media di IPD Ampang Jaya. – NSTP/Azhar Ramli
“Bagaimanapun, seorang daripada wanita terbabit yang berusia 31 tahun sudah berpengalaman beberapa kali membawa dadah ke luar negara sebelum ini menggunakan kaedah sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kamarul Zaman berkata, berdasarkan risikan yang dibuat, sindiket dikatakan merekrut keldai dadah melalui kenalan dan media sosial dengan setiap mereka diberi upah permulaan sebanyak RM1,000.

Selain itu, katanya mereka juga diberikan hotel penginapan selain tiket penerbangan dan baki RM15,000 seorang sebaik dadah itu selamat tiba ke Korea Selatan.

“Keldai dadah yang direkrut ini tahu mereka membawa dadah tetapi, terpengaruh kerana upah lumayan,” katanya.

Katanya, sindiket dipercayai memperoleh bekalan dari dalam negara namun, nilai kesemua dadah yang dirampas itu boleh meningkat kepada AS$2.04 juta (RM8.5 juta) di Korea Selatan.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua wanita terbabit dan lelaki berusia 21 tahun itu mendapati negatif dadah.

“Semua mereka direman sehingga 18 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya – Berita harian