BELURAN: Tiga kuarters guru terbakar dalam kejadian di Kampung Basai, Jalan Nangoh – Paitan, dekat sini, petang semalam.

Tiada kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 3.32 petang sebelum menghantar sebuah jentera bersama enam anggota.

Katanya, lokasi kejadian terletak 106 kilometer (km) dari Balai Bomba dan Penyelamat Beluran.

“Apabila anggota tiba di lokasi kejadian, tiga kuarters guru sudah terbakar sepenuhnya.

“Anggota bomba bertindak memadam kebakaran untuk pastikan bara-bara api padam sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.10 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.