IPOH: Tiga lelaki parah selepas ditembak sekumpulan lelaki dalam pergaduhan di hadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Kledang Timur 10, Menglembu di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, tiga lelaki berusia antara 21 hingga 29 tahun itu cedera di beberapa bahagian badan dan dilaporkan diberi rawatan di Zon Merah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan masih dalam siasatan.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut sumber, difahamkan kejadian mungkin berpunca daripada pergaduhan ketika perlawanan bola antara dua pasukan pada sebelah petangnya.

Mangsa yang berusia 24 tahun dipercayai datang ke sebuah kedai selepas seorang daripada suspek menghubunginya untuk berjumpa di lokasi berkenaan.

Katanya, sebaik tiba, suspek melepaskan beberapa das tembakan dan terkena di beberapa bahagian badan termasuk leher dan paha.

“Pada masa yang sama, dua lagi mangsa berusia 21 dan 29 tahun yang dipercayai berada di lokasi kejadian turut terkena tembakan,” katanya.