IPOH – Warga Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar, menerima khabar gembira apabila pembinaan dewan makan sementara di madrasah itu dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

Panglima 2 Briged  Brig. Jeneral Mohd Nizam Jaafar berkata, semua kerja pembinaan itu akan dilaksanakan 25 anggota tentera melibatkan jurutera, Unit 2 Renjer, 9 Renjer dan 24 Melayu.

Menurut Mohd Nizam, bahan binaan bagi kerja pembinaan berkenaan akan sampai dalam tiga hari .

“Untuk makluman kita dimaklumkan mengenai musibah yang berlaku  di madrasah ini dan setelah melihat keadaan di sini, langkah pertama yang kita buat ialah dengan memberikan khemah bencana alam. Sebanyak 12 khemah telah kita sumbangkan untuk kemudahan pelajar.

“Selain itu kami juga menghubungi pihak MK Land untuk membantu. Kami berikan kepakaran anggota dan pihak MK Land membantu dari segi bekalan bahan binaan serta makanan kepada pelajar.

“Semoga segala usaha yang kita lakukan ini akan dapat membantu meringankan beban ditanggung madrasah ini,” katanya.

Mohd Nizam berkata demikian pada sidang media sempena acara penyerahan peralatan daripada MK Land kepada anggota tentera bagi pembinaan dewan makan sementara di madrasah berkenaan, petang tadi.

Difahamkan, pembinaan dewan makan bertujuan bagi kemudahan pelajar berikutan insiden kebakaran yang berlaku di madrasah berkenaan 15 Ogos lalu.

Insiden kebakaran itu telah menyebabkan 162 pelajar kini ditempatkan di dewan utama serta di surau puteri madrasah berkenaan dan sekali gus menjadikan madrasah berdepan kekurangan bangunan khususnya bagi tujuan mengadakan beberapa peperiksaan yang akan datang.

Sementara itu, mudir madrasah, Khairil Anwar El Syazali Musa menyifatkan pihak sekolah kini berdepan tempoh kritikal berikutan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diikuti Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Thanawi dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Justeru beliau berharap semua pelajar terutamanya pelajar puteri yang terlibat dapat bertenang selain mengawal emosi masing-masing bagi mengharungi kesemua peperiksaan berkenaan.

“Apa pun, kita bersyukur atas usaha yang dilakukan di mana sebanyak 12 unit khemah berjaya disiapkan untuk menempatkan peralatan bagi 162 pelajar puteri kita.

“Cuma ketika ini kita perlu kawal emosi kerana kita akan hadapi peperiksaan,” katanya – sinar