KAJANG: Tidak dibayar gaji, ditampar dan ditumbuk. Itu pengalaman ngeri dialami tiga wanita Indonesia yang bekerja sebagai orang gaji kepada sepasang suami isteri bergelar Tan Sri dan Puan Sri di sebuah banglo di Country Heights, di sini.

Tidak tahan diperlakukan sedemikian, ketiga-tiganya nekad melarikan diri dengan memanjat pagar kediaman majikan sebelum seorang lelaki tidak dikenali membantu membawa mereka ke pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia di ibu negara, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang berusia antara 25 hingga 41 tahun itu masing-masing sudah bekerja tujuh tahun, empat tahun dan enam bulan di banglo terbabit.

“Tiga wanita itu mendakwa mereka dilayan dengan kasar dan pernah dipukul dengan cara ditampar serta ditumbuk selain gaji mereka tidak dibayar selama bekerja di situ.

“Mereka turut mendakwa tidak dibenarkan pulang ke Indonesia selain pasport mereka disimpan oleh majikan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu, pihak kedutaan Indonesia membuat satu laporan polis di Balai Polis Tun H S Lee di ibu negara bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan tiga warga negaranya itu.

“Susulan laporan yang diterima, polis kemudian ke banglo berkenaan untuk melakukan pemeriksaan sebelum merampas dua pasport serta i-kad pekerja asing milik mangsa yang disimpan setiausaha suspek.

“Ketiga-tiga mangsa kini sudah dihantar ke rumah perlindungan selepas kita memperoleh Perintah Perlindungan Sementara (IPO) daripada Majistret Kajang,” tambah beliau.

Dalam pada itu, katanya, mereka juga dihantar ke Klinik Kesihatan Kajang untuk pemeriksaan doktor dan hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati ketiga-tiga mangsa tiada kecederaan fizikal, mental atau seksual.

Menurut Mohd Dzaffir, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 – Berita harian