SERI ISKANDAR: Tiga orang pelajar sebuah sekolah berasrama di Parit ditahan polis kerana dipercayai memukul dan membuli dua pelajar lain.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata akibat kejadian itu, dua pelajar terbabit yang juga pelajar Tingkatan Satu sekolah berkenaan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh kerana mengalami kesakitan pada bahagian kepala dan badan.

Mohamad Zainal berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1 pagi semalam di bilik menonton asrama sekolah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, pengadu dipukul oleh sekumpulan pelajar lelaki yang mana muka mereka ditutupi kain dan keadaan gelap menyukarkan pengadu untuk mengenalpasti saspek.

“Pengadu mengesyaki pelajar yang memukulnya adalah pelajar senior Tingkatan Tiga kerana kira-kira tiga minggu lalu, pengadu ada melaporkan kepada pihak sekolah mengenai kegiatan pelajar seniornya yang selalu meminta duit pengadu dan rakan.

“Ketika pengadu sedang tidur pengadu telah dibawa oleh seorang pelajar yang tidak dikenali ke bilik menonton di blok asrama yang sama,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Sebaik sampai di bilik menonton berkenaan, barulah pengadu tersedar bahawa keadaan di dalam bilik tersebut gelap, tambah beliau.

Katanya, pengadu kemudian ditendang dan dipukul di bahagian hadapan dan belakang badan termasuk di bahagian kepala beberapa kali.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, pengadu berada dalam keadaan lemah dan suspek membiarkan pengadu beberapa minit sebelum dipukul sekali lagi oleh sekumpulan pelajar.

“Pengadu cuba menjerit tetapi mulutnya ditutup manakala beberapa pelajar lain yang terbabit memukul pengadu memegang kaki dan tangan serta menumbuk bahagian perut beberapa kali dengan kuat.

“Pengadu turut diberikan amaran oleh pelajar yang memukulnya supaya tidak menghebahkan kejadian itu dan mengarahkan pengadu supaya beredar dari bilik berkenaan dalam tempoh lima minit jika tidak mahu dipukul lagi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis sudah menahan tiga pelajar Tingkatan Tiga sekolah terbabit bagi membantu siasatan dan masih mengesan beberapa lagi pelajar yang terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga pelajar yang ditahan sudah pun diambil keterangan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis.