KUALA LUMPUR: Tiga pemain futsal cedera akibat dipanah petir ketika menyertai perlawanan Liga Sukan Untuk Semua (LiSUS) peringkat kebangsaan di padang Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini petang tadi.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan kejadian berkenaan berlaku kira-kira jam 4.30 petang tadi dan kesemua mangsa sudah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Ketiga-tiga mangsa sedang menerima rawatan kecemasan di PPUKM.

“Pihak KBS ingin menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan ketiga-tiga mangsa adalah keutamaan dan akan memaklumkan sebarang perkembangan dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi akaun Twitternya menyatakan keselamatan dan kebajikan ketiga-tiga mangsa adalah fokus utama KBS.

“Ketiga-tiga pemain sudah dihantar ke Hospital UKM untuk rawatan lanjut.

“Doakan semuanya berjalan lancar,” katanya – berita harian