BAGAN SERAI: Empat cedera, termasuk tiga penceramah agama selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabas di Kilometer 200.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.04 malam itu, penceramah bebas yang memandu Nissan Grand Livina, Mohd Murtadza Mohd Yussof, 30 dan penumpang hadapan, Mohamad Wadi Annuar Ayub, 35, cedera parah.

Rakan mereka, Muhd Hambali Zulkifli, 28 dan bapa Mohd Murtadza, yang duduk di bangku penumpang belakang cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki empat mangsa itu hilang kawalan lalu dan terbabas ke sebelah kiri lebuh raya.

Katanya, ketika kejadian semua mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke utara.

“Kemalangan itu menyebabkan pemandu kenderaan, Mohd Murtadza parah di kepala, manakala Mohamad Wadi Annuar yang berada di kerusi penumpang hadapan, patah bahu kanan dan cedera di kepala.

“Seorang rakan mereka serta bapa Mohd Murtadza hanya cedera ringan. Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. BH Online