ALOR GAJAH: Tiga penunggang motosikal cedera, manakala 28 penumpang sebuah bas ekspres terselamat dalam kemalangan di Kilometer 207.2, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, jam 2.30 petang itu, bas berkenaan dan penunggang ketiga-tiga motosikal dikatakan dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang.

Difahamkan, bas ekspres itu bertolak dari Terminal Bas Larkin, Johor, kira-kira jam 11 pagi dengan membawa seramai 28 penumpang warga tempatan.

 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz, berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas berusia 49 tahun cuba mengelak sebuah kenderaan lain yang secara tiba-tiba bertukar lorong dan memasuki laluan hadapan bas.

“Akibatnya, pemandu bas itu hilang kawalan dan melanggar tiga motosikal, sebelum terbabas dan merempuh pokok di bahu jalan.

“Tiga penunggang motosikal terbabit masing-masing berusia 26, 31, dan 32, cedera dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, selain keterangan pemandu bas, rakaman percakapan penunggang motosikal turut diambil bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian