Subscribe Now

Trending News

3 rakan dituduh bunuh pegawai JPJ
Nasional

3 rakan dituduh bunuh pegawai JPJ 

PONTIAN 12 Feb. – Tiga rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini sebentar tadi atas tuduhan membunuh seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah ini, Januari tahun lalu.

Tertuduh, Mohammad Khalifah Yahya, 24, Abdul Shukur Abdul Ghani, 26, dan S. Ragu, 38, mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Azlan Bohari.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga penganggur itu didakwa secara bersama-sama membunuh Jaiman Sapar, 53, di halaman sebuah rumah tidak bernombor di Parit Pak Intan, Kayu Ara Pasong dekat sini kira-kira pukul 1 tengah hari pada 27 Januari tahun lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Baiduri Mustakim, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Mac ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat serta penetapan tarikh untuk kes tersebut dipindah ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru. – UTUSAN ONLINE

Related posts