KUALA LUMPUR: Tiga rumah teres terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Lorong Pisang 1, Avantas Residence, Jalan Klang Lama, di sini, kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa mangsa.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Lumpur, Kapten (PA) Aziana Hizazi, berkata tanah runtuh dipercayai berlaku ketika hujan lebat di sekitar Lembah Klang petang tadi.

“Struktur dua daripada tiga rumah runtuh manakala sebuah lagi hanya membabitkan runtuhan tanah di bahagian dapur.

“Terdapat tapak projek pembinaan di belakang kediaman bahagian belakang rumah yang dikenal pasti menjadi punca kejadian, bagaimanapun pihak kami masih berada di lokasi untuk membantu agensi berkaitan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, rumah kedua mengalami kerosakan paling teruk apabila keseluruhan bahagian dapur kediaman itu terjatuh ke bawah cerun.

“Bagaimanapun, ketika kejadian tiada penghuni di rumah berkenaan. Penghuni dua lagi rumah juga selamat,” katanya – berita harian