DUNGUN: Tiga pelajar kolej di Kemaman parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta lain di Kilometer 75.5, Jalan Jerangau-Jabur, dekat Bukit Besi, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.15 malam, Muhammad Aliuddin Abdul Satar, 19, pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Kemaman yang berasal dari Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, dilaporkan kritikal selepas parah di kepala dan anggota badan.

Rakannya, Muhammad Syafi Mohd Zuki, 18, yang belajar di kolej sama serta seorang lagi rakan mereka Muhammad Faiz Ilhwan Januar, 18, pelajar Institut Pendidikan dan Latihan Ranako Kemaman parah di kepala, kaki dan anggota badan.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga sahabat terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan kanan jalan.

Berikutan itu kereta terbabit kemudiannya bertembung dengan kereta Honda Jazz dipandu Ahmad Syahmi Rosdi, 24, seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi.

Kereta Produa Myvi yang dinaiki tiga pelajar kolej yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 75. 5, Jalan Jerangai-Jabur dekat Bukit Besi yang menyebabkan tiga pelajar itu parah. – Foto Rosli Ilham

Ahmad Syahmi dipercayai patah bahu dan cedera di bahagian dalaman badan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Ketua Penjaga Balai Bomba Dan Penyelamat AMBS, Jaswari Awang, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.18 malam bersama lima anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba dua penumpang dalam kereta Perodua Viva dikeluarkan orang ramai manakala pemandu kereta itu yang tersepit berjaya dikeluarkan 10 minit selepas itu.

“Semua mangsa yang parah itu dikejarkan ke Hospital Dungun dengan ambulans untuk menerima rawatan lanjut,“ katanya – berita harian