KLANG : Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi melecur selepas rumah mereka diami terbakar dalam satu kebakaran awal pagi tadi.

Mangsa yang maut, Pua Yoke Moi, 70; Soon See Eng, 54, dan Ang Kar Hian, 22, yang juga lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditemui rentung dalam dua bilik tidur di rumah kayu yang terbakar itu.

Seorang lagi mangsa, Ang Cheng Kiat, 55, mengalami kecederaan melecur sehingga 50 peratus dan dua lagi mangsa, Ang Kar Chin, 27, dan Ang Kam Siew, 30, berjaya menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata dalam kebakaran kira-kira jam 3 pagi itu, pihaknya berjaya mengawal api pada jam 3.30 pagi dan pemadaman sepenuhnya berjaya dilakukan sejam kemudian.

Katanya, ketika tiba di lokasi, api sudah marak manakala tiga mangsa terselamat sudah berjaya menyelamatkan diri.

“Kesemua mangsa dipercayai ahli keluarga termasuk ibu dan bapa serta nenek kepada mangsa yang terselamat.

“Turut terbakar sebuah kediaman yang terletak bersebelahan rumah itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan penghuninya tiada di rumah ketika kejadian,” katanya kepada pemberita.

Hafisham berkata, ekoran kebakaran, tiga kenderaan milik mangsa yang diletakkan dalam kawasan halaman rumah turut hangus terbakar.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya dengan kekuatan 24 anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan Andalas, berjaya mengawal api daripada merebak ke kediaman lain bersebelahan rumah yang terbakar itu.

“Ketika ini, Unit Forensik Kebakaran JBPM sedang menjalankan siasatan di lokasi bagi mengenalpasti punca kebakaran.

“Mangsa yang melecur sudah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan manakala mayat mangsa yang lain sudah diserahkan kepada pihak polis,” katanya.