BINTULU: Penahanan tiga suspek berusia 32 hingga 41 tahun dalam Ops Lejang di sini, malam tadi, berjaya melumpuhkan kegiatan sindiket curi motosikal di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata penahanan suspek berkenaan, termasuk seorang wanita warga tempatan membawa kepada penemuan semula dua motosikal, masing-masing yang dilaporkan hilang penghujung Mei lalu, termasuk kes terbaru kelmarin.

“Kita melancarkan operasi khas ini di Jalan Tanjung Batu dan Pasar Lama Bintulu di sini, antara jam 7 petang hingga 9.30 malam tadi.

“Ia membawa kepada penahanan suspek pertama yang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan curi kenderaan.

“Ketika soal siasat dijalankan, suspek mengaku terbabit dalam beberapa kes curi motosikal dan pecah rumah di Bintulu serta kawasan sekitar yang dilaporkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Zulkipli berkata, hasil maklumat soal siasat kemudian membawa kepada penahanan dua lagi suspek, termasuk seorang wanita di sebuah rumah pangsa di Jalan Sultan Iskandar di sini, hari sama.

Beliau berkata, beberapa barangan curi, termasuk sebuah televisyen turut ditemui di rumah berkenaan.

“Sebuah kereta milik salah seorang suspek turut disita bagi tujuan siasatan kerana dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah mereka.

“Hasil semakan mendapati dua suspek berkenaan mempunyai kaitan dengan kes pecah rumah di Jalan Sibiew di sini, pada Mei lalu.

“Jika sabit kesalahan, kesemua suspek boleh dipenjarakan sehingga lima tahun berserta denda. Mereka kini dikenakan perintah reman sehingga 14 Julai bagi membantu siasatan,” katanya – berita harian