KUALA LUMPUR : Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan kononnya bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sedang berusaha menarik sekurang-kurangnya 30 ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Harapan (PH).

Menurut beliau, semua spekulasi itu tidak akan terjadi sekiranya hanya dipersetujui sebelah pihak sahaja.

“Bagaimana yang telah saya sebutkan pada Sabtu lalu, cadangan itu berbentuk spekulasi dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi saya yakin sistem demokrasi melalui PRU adalah asas kepada pembentukan sesebuah kerajaan.

“Saya tidak fikir spekulasi itu adalah realiti dan jika ada kekhuatiran di pihak gabungan PH, jangan khuatir bahawa spekulasi itu tidak akan terjadi jika hanya bertepuk sebelah tangan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya spekulasi Hishammuddin sedang berusaha menarik sokongan sekurang-kurangnya 30 ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional untuk menyokong Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai Perdana Menteri.

Laporan memetik sumber itu juga berkata gerakan tersebut bermula sejak tahun lepas bertujuan menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan Perdana Menteri seperti yang dipersetujui dalam pelan peralihan kuasa perdana menteri, yang dimeterai oleh pemimpin Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018.

Laporan itu turut menyebut “kerajaan pintu belakang” tanpa Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP, yang disebut-sebut minggu lalu, boleh jadi kenyataan seawal bulan depan apabila Bersatu mempunyai kekuatan 60 kerusi Parlimen berbanding 28 yang ada sekarang.

-MalaysiaGazette