KUALA LUMPUR – Tiga puluh individu mendakwa kerugian RM1.25 juta kerana ditipu sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan pembayaran bil utiliti dan tambah nilai.

Pengerusi Biro Undang-Undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Hishamuddin Hashim berkata syarikat yang dikatakan dikendalikan seorang ahli majlis perbandaran di sebuah negeri bersama rakannya pada 2016 itu, didakwa menjanjikan pulangan lumayan kepada pelabur.

Beliau berkata syarikat itu dikatakan menawarkan pulangan pelaburan yang “tidak masuk akal”, sebanyak 65, 74, 90 dan 113 peratus.

“Contohnya jika pelabur bayar RM13,800 mereka akan dapat RM27,280* jika bayar RM23,000 pula mereka akan dapat RM49,600 dalam masa 48 minggu.

“Secara umumnya, mereka (pelabur) kononnya akan dapat menjana keuntungan dengan pembayaran bil utiliti tetapi apabila duit diserahkan kepada syarikat, sistem tidak dapat digunakan serta ditutup manakala duit mereka lesap,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.

Beliau berkata pihak PPIM sudah memanggil kedua-dua pemilik syarikat untuk berunding tetapi perbincangan itu gagal menyebabkan persatuan mengambil langkah menyerahkan kes tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Saya merayu agar pihak polis menyiasat kes ini di bawah kes komersial kerana ini dianggap satu penipuan.

“Kebanyakan mangsa pesara kerajaan dan mereka menggunakan duit pencen untuk menyertai skim ini dengan harapan ia dapat menjana pendapatan. Tindakan tegas perlu diambil,” katanya.

Seorang mangsa, Arbaan Abdul Mokti, 60, dari Seri Manjung, Perak berkata beliau membuat bayaran hampir RM150,000 selepas menyertai skim itu pada awal 2016.

“Mula-mula memang saya menerima pulangan tetapi pada November 2016, skim ini dikatakan mengalami masalah dan sehingga kini syarikat terbabit tidak membuat bayaran balik seperti dijanjikan,” katanya. – Bernama