BAGAN SERAI – Lebih 30 masjid di seluruh daerah di Perak menjadi platform Gerakan Pembela Ummah (Ummah) melaksanakan penganjuran serentak himpunan membantah tindakan penghinaan Nabi Muhammad SAW pada selepas solat Jumaat hari ini.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, inisiatif itu difahamkan mendapat sambutan luar biasa seluruh umat Islam di Perak dari setiap lokasi penganjuran sekali gus membuktikan masyarakat Islam kini sudah bangkit menentang sebarang ancaman kepada kedaulatan Islam.

Menurutnya, selain menyatakan bantahan terhadap penghinaan Nabi Muhammad SAW, umat Islam turut mendesak kerajaan PH agar lebih menjaga kesucian agama Islam serta hak keistimewaan orang Melayu dan tidak mengambil ringan perkara itu.

“Alhamdulillah, hari ini lebih 100 umat Islam menyertai perhimpunan aman membantah tindakan penghinaan Nabi Muhammad SAW yang dianjurkan di perkarangan Masjid Al-Athar, Masjid Tinggi. Perhimpunan aman ini penting bagi menyatakan pendirian umat Islam tidak menyenangi tingkah laku kerajaan PH dilihat agak lunak dengan sebarang tindakan mengancam kedaulatan Islam.

Razman (berdiri, tengah) menyampaikan ucapan bersemangat pada majlis himpunan aman di perkarangan Masjid Al-Athar, Masjid Tinggi, hari ini.
Razman (berdiri, tengah) menyampaikan ucapan bersemangat pada majlis himpunan aman di perkarangan Masjid Al-Athar, Masjid Tinggi, hari ini.

“Kami turut menggesa tindakan lebih tegas diambil terhadap individu menghina Nabi Muhammad SAW dengan tidak sekadar melepaskannya begitu sahaja atas alasan apa sekalipun,” katanya kepada media selepas mengetuai Himpunan Ummah Membantah Tindakan Hina Nabi Muhammad SAW di sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Bagan Serai, Husin Din.

Razman berkata, sekiranya kerajaan PH masih enggan mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu menghina Nabi Muhammad SAW tersebut, Pas dengan kerjasama semua pihak termasuk Ummah tidak teragak-agak melancarkan satu himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur bagi membantah pendirian kerajaan sedia ada dalam masa terdekat.

“Kita berharap umat Islam sedar dan bangkit menuntut kerajaan sedia ada supaya lebih menjaga Islam dan menjaga sensitiviti umat Islam di seluruh negara.

“Program sebegini bukan berbaur politik, sebaliknya yang menjadi pembela kepada penghina Nabi patut dianggap mempolitikkan isu ini dan mereka sepatutnya menjadi penjaga kepada agama rasmi persekutuan,” katanya – sinar harian