KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen (Imigresen) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) menggempur premis medan selera di tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah borong di kawasan Pudu, di sini, semalam dalam usaha mengesan dan menahan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menerusi Ops Selera yang dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari itu hasil maklumat orang ramai, Imigresen WPKL menahan 30 PATI termasuk 18 lelaki yang melakukan pelbagai kesalahan.

Ops Selera adalah operasi susulan pelaksanaan Ops Mega 3.0 pada 1 Julai lalu bagi mengesan dan menahan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara.

Pengarah Imigresen WPKL, Hamidi Adam, berkata dalam operasi itu pihaknya memeriksa 45 warga asing yang bekerja di medan selera terbabit.

“Ketika serbuan, pendatang asing yang disyaki tidak memiliki sebarang dokumen membuat pelbagai helah dan bersembunyi, malah ada juga yang bertindak nekad cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, kecekapan anggota berjaya menggagalkan usaha itu, hasilnya kita menahan 30 PATI iaitu 18 lelaki dan 12 wanita yang melakukan pelbagai kesalahan,”, katanya dalam satu kenyataan.

Hamidi berkata, antara kesalahan yang dikesan adalah mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1966 kerana salah guna pas atau permit, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tinggal lebih masa, Seksyen 6(1)(c) akta yg sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, daripada 30 yang ditahan, 10 warga Bangladesh, Indonesia (8), Myanmar (7) dan Pakistan (5), kebanyakkan mereka berusia antara 25 hingga 45 tahun.

“Selain PATI, kita juga turut mengambil tindakan terhadap majikan, kita mengeluarkan Borang 29 iaitu saman kepada saksi mengikut Seksyen 56(1)(d) dan 55E kerana melindungi dan menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya – berita harian