IPOH– Hampir 30 buah rumah di Taman Klebang Restu, dekat sini dinaiki air dan beberapa kenderaan terkandas, ekoran hujan lebat berterusan seterusnya banjir kilat yang berlaku sejak 3 petang tadi.

Menurut Pegawai Bomba Kanan II, Syed Azrul Hizam Syed Abd Aziz, kejadian banjir yang berlaku di Hala Klebang Restu, Taman Klebang Restu itu melibatkan paras air sedalam dua kaki.

“Pihak bomba menerima panggilan pada jam 4.33 petang dan setibanya jentera di tempat kejadian didapati berlaku banjir kilat yang melibatkan hampir 30 buah rumah.

“Namun tiada mangsa terperangkap, banjir hanya melibatkan kawasan perumahan tersebut dan kenderaan yang terkandas pula hanya melibatkan kenderaan yang diletakkan di kawasan banjir sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, operasi pemantauan sedang giat dijalankan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.