IPOH: Hampir 300 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) terlibat dalam Op Bantu 18 seluruh negeri Perak sempena Tahun Baru Cina tahun ini.

Pengarah APM Perak, Kolonel (PA) Noor Azam Johari berkata, operasi dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa pertama 3 dan 4 Februari serta fasa dua 9 dan 10 Februari.

Menurut beliau, mereka dibahagikan kepada dua syif dari 8 pagi hingga 12 malam.

“Mereka akan membantu pengguna jalan raya seperti apabila berlaku kemalangan, pasukan ini bertindak sebagai ‘first responder’ untuk menyelamatkan mangsa.

“Pasukan ini juga membantu pengguna jalan raya yang mengalami masalah seperti membantu membuka tayar kenderaan serta membantu melancarkan aliran trafik di jalan jalan yang berkenaan,” katanya ketika melancarkan operasi itu di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Jumaat petang.

Penugasan operasi itu melibatkan lapan daerah di Perak iaitu Kinta, Larut Matang & Selama, Hilir Perak, Manjung, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Batang Padang dan Muallim.

Antara jalan yang terlibat sepanjang Op Bantu ialah Jalan Ipoh – Gopeng, Taiping – Kuala Kangsar, Taiping – Bagan Serai, Teluk Intan – Hutan Melintang, Lumut – Setiawan, Kuala Kangsar – Ipoh, Kuala Kangsar – Lenggong, Trolak Pekan – Tapah dan Trolak Pekan – Tanjung Malim.