MANONG – Kira-kira 300 penyokong Harapan dari Kampung Suak Petai, di sini, menzahirkan sokongan kepada BN selepas kecewa dengan parti pembangkang yang dilihat tidak begitu mengutamakan rakyat.

Wakilnya, Nordin Mat Diah, 53, berkata, mereka hilang kepercayaan dengan pemimpin di kawasan kerana gerak kerja mereka dilihat tidak lagi bersemangat seperti dulu.

Menurutnya, mereka menafikan dakwaan kononnya berubah sokongan kerana menerima ‘dedak’ sebaliknya kecewa kerana parti seakan melebihkan pihak lain berbanding rakyat.

“Saya mewakili 40 ahli dan kira-kira 300 penyokong menyatakan sokongan kepada calon BN di Manong, Zuraimi Razali dan calon Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.

“Saya dapat lihat gerak kerja di kampung kami memang suram. Masa awal-awal dulu memang bagus, nampak pengaruh pun banyak tapi sekarang dah berubah.

“Kami dah mula nampak suara-suara kami tak diterima pakai, rungutan masyarakat pun tidak diambil tindakan. Mereka banyak pentingkan pihak lain daripada rakyat,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media khas di Pusat Gerakan Dun Manong, di sini, malam tadi.

Turut hadir adalah calon BN bagi DUN Manong, Mohamad Zuraimi Razali dan Pemangku Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Mohamad Kamil Shafie.

Dalam pada itu, Mohamad Zuraimi gembira dengan perkembangan tersebut dan merasakan ia merupakan sejarah baru buat DUN tersebut.

“Ini merupakan malam bersejarah dan detik yang tidak dijangka. Tak pernah terlintas di fikiran saya dan saya bersyukur atas komitmen diberikan rakan-rakan baru kita.

“Terima kasih kerana beri sokongan penuh kepada semua calon BN di Manong dan Kuala Kangsar,” ujarnya.

Kerusi DUN Manong bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Mohamad Zuraimi (BN), Jamil Dzulkarnain (Pas) dan Mohamad Isa Jaafar (PKR – Bersatu).

Penyandangnya, Mohamad Kamil tidak dicalonkan dalam PRU14 selepas menang dengan majoriti 231 undi dalam PRU13 lepas.

BERITA BERKENAANAziz Bari Batal Ceramah Selepas Pendedahan Komplot DAP Dapatkan Jawatan MB Perak