BUKIT MERAH: Tema ‘superhero’ (adiwira) berjaya menarik seramai 300 peserta  termasuk kanak-kanak yang menyertai larian amal Family Fun Run 2018 di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), di sini, semalam.

Lebih menarik, kesemua peserta  yang menyertai larian terbabit menggayakan pakaian yang bertemakan adiwira kesukaan seperti Ironman, Batman, Superman  dan sebagainya bersama sahabat-handai dan keluarga yang dibekalkan sebelum acara bermula.

Program anjuran Baldman Sports Enterprise itu bertujuan memupuk pengamalan terhadap gaya hidup sihat selain  dapat mengeratkan institusi kekeluargaan melalui aktiviti yang dijalankan bersama keluarga.

Pengarah program, Szeray Tan berkata, pemilihan tema adiwira dalam program itu merupakan simbolik kepada kesungguhan dan daya juang seseorang untuk mencapai kejayaan walau tanpa kehadiran keluarga di sisi.

Katanya, pemilihan tema adiwira dilakukan bagi memberi gambaran bahawa  seseorang juga turut mampu berjaya dan menempuhi rintangan hidup biarpun tanpa keluarga di sisi sebagaimana kehidupan yang dilalui oleh kebanyakan watak adiwira.

“Kebiasaannya ramai beranggapan bahawa kejayaan seseorang banyak didorong institusi kekeluargaan yang kukuh  namun tanpa kita sedar terdapat golongan yang kurang bernasib baik seperti anak yatim dan golongan yang disisih keluarga.

“Justeru pada hari ini peserta bukan hanya berlari berpeluang bergambar bersama indivdu yang memperagakan kostum adiwira, malah kita bawakan juga kanak-kanak dan remaja yang menghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin ‘Anning‘ Perak, Taiping yang turut sama dalam program ini,” katanya ketika ditemui dalam program itu.

Pelepasan larian disempurnakan Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran BMLR, Noor Azizah Ahmad pada jam 7.30 pagi melalui trek larian sejauh 5 kilometer yang membabitkan lima kategori.

Katanya lagi, sebahagian dari yuran penyertaan disumbangkan kepada pertubuhan rumah anak yatim terbabit selain turut disalur ke Rumah Anak Yatim Tasawwur Islam, Simpang Empat Semanggol.

Sementara itu, peserta, Fazima Mohamad Ibrahim, 47, ketika ditemui berkata, program sedemikian wajar diteruskan yang disifatkannya mengihiburkan selain dapat merapatkan hubungan kekeluargaan serta secara tidak langsung membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, Ia juga dapat merangsang pemikiran kanak-kanak bahawa seseorang yang membesar tanpa kehadiran keluarga di sisi juga boleh bangkit dan berjaya selagi mana mempunyai keazaman dan semangat juang  yang tinggi sebagaimana dipaparkan melalui perwatakan  adiwira kesukaan

“Pada saya tarikan kepada program ini adalah ianya bukan sekadar hiburan seisi keluarga semata-mata, malah turut membolehkan saya lebih mengenali keluarga rakan saya yang turut hadir bersama  keluarganya selain melunaskan tanggunjawab membantu golongan yang memerlukan.

“Ianya agak berbaloi kerana dari yuran penyertaan yang dikenakan, kesemua peserta dibekalkan dengan pakaian yang bertemakan program terbabit selain diberikan sijil dan pingat bagi yang berjaya menamatkan larian ,” katanya yang menyertai larian itu bersama dua anak.