KOTA TINGGI: Tumpahan kira-kira 300 tan minyak bahan api marin mencemari perairan Tanjung Balau dan Batu Layar di sini, dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki sejak dua hari lalu.

Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor), Dickson Dollah, berkata anggaran itu dibuat berdasarkan analisa perisian komputer membabitkan lokasi pencemaran seluas empat batu nautika dari pesisir pantai.

Katanya, berikutan itu seramai 18 anggota bersama unit kecemasan jabatan itu digerakkan bagi melaksanakan kerja pembersihan tumpahan minyak di perairan berkenaan sejak operasi hari pertama, hari ini.

“Setakat ini, Jabatan Laut Wilayah Selatan sudah menggerakkan bot Al Nilam untuk melaksanakan kerja pembersihan tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar.

“Operasi pembersihan bermula jam 6 pagi tadi. Operasi pembersihan di kawasan pantai turut disertai agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika ditemui membuat tinjauan di lokasi pencemaran di sini, hari ini.

Jabatan Laut Wilayah Selatan sudah menggerakkan bot Al Nilam untuk melaksanakan kerja pembersihan tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar. – NSTP/Ihsan Jabatan Laut Malaysia

Dickson (kiri) bersama Pengerusi Nelayan Pengerang, Abu Bakar Mohamad menunjukkan kesan tumpahan minyak yang sudah merebak ke pesisir Pantai Tanjung Balau, Desaru di Kota Tinggi. – NSTP/Zain Ahmed

Beliau berkata, berdasarkan petunjuk yang diperoleh, aktiviti pembuangan minyak dipercayai dilakukan kapal tangki dalam tempoh 72 jam lalu.

Mengulas mengenai pembersihan, katanya, pihaknya menggunakan semburan kimia bagi menguraikan minyak di kawasan itu.

“Semburan kimia akan memudahkan proses penguraian minyak, apabila minyak terurai ia akan menjadi nipis dan tersejat sendiri.

“Selain itu, sisa tumpahan yang terperangkap pada peralatan khas menyerap minyak (oil boom) akan disedut menggunakan ‘skimmer’,” katanya.

Katanya, penemuan sisa minyak itu bukan pertama kali berlaku di Tanjung Balau di sini, sebaliknya hampir setiap tahun.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Laut Wilayah Selatan menemui tumpahan minyak sepanjang kira-kira satu kilometer di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar, kira-kira jam 3 petang semalam – Berita harian