IPOH: Seramai 30,000 pelajar mendapat manfaat daripada program Tuisyen Rakyat@KKLW yang diperkenalkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan diselaraskan oleh Pergerakan Puteri UMNO, tahun ini.

Pemangku Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Datuk Zahida Zarik Khan berkata, program tuisyen percuma itu dilaksanakan Puteri UMNO Bahagian dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Beliau yang juga Naib Ketua Puteri UMNO berkata, pihaknya telah menyelaraskan tuisyen itu di 179 kawasan Parlimen di seluruh negara yang turut melibatkan guru-guru cemerlang di kawasan berkenaan.

 

KKLW 3

“Insya Allah, program ini akan diteruskan di tahun-tahun akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan penutup program Tuisyen Rakyat@KKLW Peringkat Parlimen Gopeng di SMK Pengkalan dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Senator Datuk Hamzah Kassim, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Gopeng, Suzana Osman.

Seramai 115 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 10 buah sekolah menengah di dalam kawasan Parlimen Gopeng menghadiri 10 sesi tuisyen yang diadakan setiap Sabtu.

Sementara itu, Hamzah merakamkan terima kasih kepada Menteri KKLW, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan YPM kerana mengadakan tuisyen rakyat itu di Gopeng.

Tuisyen Rak­yat@KKLW yang mula diper­kenalkan pada tahun 2013, menyediakan peruntukan sebanyak RM4.8 juta bagi membantu murid serta pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan SPM.