IPOH: Seramai 30,000 disasar akan memeriahkan Karnival Sukan dan Kebudayaan Parlimen Lenggong pada 4 hinga 7 Mei ini yang bertempat di Majlis Daerah Lenggong.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, karnival siri ke-3 itu akan menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk kesemua lapisan masyarakat bukan sahaja untuk parlimen itu malah seluruh negeri dan negara.

“Matlamat utama karnival ini selain mahu mewujudkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat khususnya di Parlimen Lenggong, kita juga mahu mencungkil bakat mereka dalam bidang sukan dan kebudayaan.

“Melalui penyertaan dalam pelbagai program yang telah dirancang, saya percaya bakat-bakat ini boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya dalam satu sidang media khas, di sini pada Isnin.

Tambah beliau lokasi penganjuran karnival itu juga nanti akan membolehkan Lembah Lenggong yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia menarik lebih ramai pelancong luar untuk datang melawatnya selaras dengan usaha mempromosikan Lembah Lenggong bersempena Tahun Melawat Perak 2017.

“Pelbagai acara menarik telah dirancang termasuk pertandingan anak kreatif, malam kesenian Islam, pertandingan karaoke, battle of the bands, larian Lembah Lenggong, berbasikal, bola sepak dan muay Thai.

“Setiap acara yang dipertandingkan itu akan dikendalikan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bagi menjaga kualiti acara tersebut,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini, pihaknya telah menerima lebih 4,000 penyertaan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di Lenggong dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang hari karnival itu bermula.

“Selain terdapat pelbagai gerai jualan, pameran dan cabutan bertuah, pengunjung juga akan dihiburkan oleh artis terkenal tanah air seperti Zamani Slam, Sufi AF, Wani Kayrie, Yabang Khalifah dan Salwa Abd. Rahman,” ujarnya.

Karnival tersebut merupakan program dwi tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong.

Dijadualkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan hadir bagi majlis penutupan karnival itu pada Ahad ini.