BERA: Rakyat diingatkan tidak terpengaruh dengan sikap pembangkang yang dilihat hanya muncul setiap kali pilihan raya semakin hampir.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, apabila pilihan raya semakin dekat, pembangkang akan mengadakan pelbagai program bagi mendekati rakyat.

“Jika kita lihat bendera dan aktiviti pembangkang semakin banyak, itu menandakan pilihan raya sudah dekat. Mereka (pembangkang) mula berjumpa orang, pasang bendera, kalau pilihan raya tidak ada kelibat mereka pun tak ada.

“Berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun di kawasan tidak menang, aktiviti kerajaan berjalan seperti biasa.

“Kita tak tunggu pilihan raya untuk berjumpa rakyat kerana kita sentiasa bersedia sepanjang masa dan itulah bezanya.

“Justeru, adalah menjadi perkara wajar untuk rakyat mempertahankan parti kerajaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera Bandar 32, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengetua SMK Bera Bandar 32, Zakuan Mat Desa dan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Baharom Samat.

Seramai 367 pelajar sekolah itu menerima bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 seorang.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kerajaan memberi banyak bantuan dengan memperuntukkan bajet pendidikan sebanyak RM45.9 bilion selain 19 bantuan pendidikan lain untuk membantu pelajar.

“Selain itu, ada juga bantuan biasiswa negeri daripada agensi dan kementerian lain. Oleh itu, saya percaya tidak ada alasan untuk keciciran berlaku di negara kita atas dasar kemiskinan dan pelajar diberi peluang belajar untuk mencapai kejayaan,” katanya – berita harian