TANJUNG TUALANG: Seramai 31 penduduk Tanjung Tualang bertuah kerana terpilih memiliki Rumah Mesra 1 Malaysia (RM1M) yang dijangka siap hanya dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berharap, 15 kontraktor yang dilantik dapat menyiapkan projek itu dalam masa yang ditetapkan.

Menurut beliau, pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) juga difahamkan akan menyediakan bahan-bahan binaan untuk mereka memulakan kerja.

“Harapan saya semoga mereka dapat menjalankan amanah mereka dengan terbaik sebab ini adalah untuk rakyat dan mereka menerima subsidi daripada pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Program RM1M Sesi Serahan Inden Kerja RM1M Peringkat Parlimen Kampar Dan Penyerahan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) Kepada Mangsa Banjir Mukim Tanjung Tualang yang dijalankan secara serentak di Dewan Serbaguna Tanjung Tualang, baru-baru ini.

Sambil mengucapkan syabas kepada penerima, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah berharap, mereka dapat menunaikan tanggungjawab untuk bayar ansuran pinjaman.

Sementara itu, seramai 36 mangsa banjir pada 24 hingga 28 Januari lalu, menerima bantuan KWABBN.

Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan yang terpilih menerima bantuan RM1M, Suhaila Zainal, 45, melahirkan rasa syukur kerana terpilih menerima bantuan rumah tersebut.

“Dah lama saya menunggu, sejak tahun 2012 lagi, alhamdulillah dapat juga akhirnya saya rumah ini, selesalah nanti untuk empat anak-anak yang masih bersekolah,” ujarnya.

Untuk rekod, bantuan atau subsidi yang disalurkan kepada rakyat bagi pembinaan sebuah rumah itu ialah RM31,000 atau hampir RM1 juta untuk 31 buah rumah di Tanjung Tualang.

nolee t.tualang 2