TANJUNG MALIM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menyediakan 3,140 pegawai dan anggota untuk bertugas sepanjang temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Perak dari 12 hingga 22 September nanti.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata PDRM akan menggunakan kekuatan pegawai dan anggota polis Perak di kesemua venue acara terlibat sepanjang penugasan selama dua minggu itu.

“PDRM juga sedia menambah kekuatan dari Bukit Aman dan kontinjen-kontinjen polis terdekat bagi membantu kontinjen polis Perak sepanjang penugasan selama dua minggu temasya sukan dwi-tahunan itu.

“Saya jangka segala persiapan termasuk perasmian dan penutup akan kita kawal rapi dengan harapan tidak ada perkara tidak diingini berlaku sepanjang Sukma ini berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis perbarisan tamat latihan dan penyampaian sijil perlantikan 1,285 pegawai Kor Suksis Universiti Awam kali ke-14 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City di sini hari ini.

Sebanyak 26 jenis sukan dengan 369 acara dipertandingkan yang akan membabitkan semua 12 daerah yang ada di negeri Perak sebagai lokasi acara.

Dijangkakan seramai 11,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen seluruh negara termasuk negara jiran Brunei akan menyertai temasya sukan berkenaan.