IPOH: Sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka menjadi antara 32 orang yang ditahan Jabatan Imigresen Perak dalam operasi penguatkuasaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di enam lokasi berasingan di Parit Buntar dan Semanggol dekat sini.
Timbalan Pengarah Imigresen Perak (Kawalan) Ahamad Puat Abd Hamid berkata, operasi itu yang diadakan selama dua hari mulai semalam bermula pukul 11.30 malam hingga 3.10 pagi.
Katanya, lapan lelaki berumur antara 20 hingga 50 tahun dan 23 perempuan berumur 18 hingga 45 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun ditahan atas kesalahan salah guna pas, pengendorsan palsu dan tiada dokumen.
Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki Bangladesh, dua lelaki Indonesia, 20 perempuan Vietnam, dua wanita Thailand, seorang wanita Indonesia dan seorang kanak-kanak Indonesia.
“Operasi dijalankan di pusat hiburan, rumah kongsi, tapak pembinaan dan rumah kediaman melibatkan seramai 87 orang yang telah diperiksa.
“Mereka dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh sebelum dihantar ke Depot Imigresen Langkap untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Ahamad Puat berkata, operasi sedemikian akan dilaksanakan secara berterusan bagi membendung masalah PATI khususnya di negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak menggaji dan memberi perlindungan kepada PATI kerana mereka boleh dikenakan hukuman berat di bawah Akta Imigresen termasuk penjara dan sebatan jika didapati bersalah.
Beliau mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan PATI kepada Jabatan Imigresen atau Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Perak.