KUALA KANGSAR – Seramai 32,940 pemilih akan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar 18 Jun depan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, daripada jumlah itu, 32,632 adalah pengundi biasa, 312 merupakan pengundi awal manakala 5 lagi pengundi tidak hadir luar negara.

“Sebanyak 25 premis bangunan akan digunakan sebagai tempat mengundi pada 18 Jun itu,” katanya  selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Bagi Menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.067 Kuala Kangsar, Perak pada Isnin.

Justeru itu, beliau menasihatkan pengundi terlibat membuat semakan awal tempat mengundi masing-masing bagi mengelak kekecohan pada hari pengundian.

“Ia memandangkan terdapat daerah-daerah baru yang diwujudkan bukan untuk di Kuala Kangsar sahaja tetapi juga seluruh Tanah Melayu yang mana kita gazettekan sempena melaksanakan persempadanan semula Negeri-Negeri Melayu.

“Pusat pengundiannya mungkin ada yang telah berubah tetapi masih ada di dalam parlimen jadi pengundi perlu semak semula,” jelasnya.

Beliau turut meminta kesemua parti yang terlibat supaya berkempen secara berhemah bagi menghormati bulan Ramadan yang dijangka bermula pada 6 Jun sehari selepas penamaan calon.

“Nasihat saya, mereka yang berkempen itu berhemahlah, tidak menyetuh perkara-perkara sensitif, fitnah menfitnah dan kempen secara gentleman lah.

“Ianya bagi menghormati bulan Ramadan dan kita juga kalau boleh kehamornian masyrakat Kuala Kangsar ini dapat kita kekalkan,” ujarnya.

Pengundi boleh membuat semakan tempat mengundi masing-masing di laman web SPR di www.spr.gov.my atau melalui talian 038892700 atau 052494113 atau melalui sms dengan menaip SPR<jarak>semak<jarak>nombor kad pengenalan dan hantarkan kepada 15888