PARIT – Petronas menganugerahkan 330 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biasiswa bernilai RM134 juta di bawah program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP).

Seramai 162 penerima akan menyambung pengajian di luar negara manakala seramai 168 penerima pula melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas (UTP), di sini.

Para penerima dan ibu bapa tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira dan terharu.

Mereka menyifatkan mereka sangat bertuah kerana terpilih memandangkan jumlah pemohon mencecah 8,000 orang untuk tahun ini.

M. Naviinesh, 18 dari Seremban, Negeri Sembilan, berkata beliau berasa sangat gembira apabila mengetahui namanya tersenarai sebagai penerima pesp 2018.

Beliau bakal meneruskan pengajian dalam bidang perakaunan di salah sebuah universiti di united kingdom setelah menamatkan a-levels dalam jangkamasa dua tahun lagi.

“Saya sangat gembira dan terharu kerana terpilih untuk menerima tajaan ini dari kalangan 8,000 pelajar yang memohon. Saya bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada Petronas kerana memberi saya peluang untuk menyambung pelajaran ke luar Negara,” katanya ketika ditemui Suara Perak.

Anak kepada pasangan guru T.V. Morgan dan surirumah S. Premalatha ini berazam untuk mendapatkan keputusan yang terbaik, seterusnya berjaya untuk bekerja dengan Petronas kelak.

Bagi Siti Aishah Mohamad Zahir, 18, dari Johor Bahru, walaupun menerima beberapa tawaran biasiswa daripada syarikat lain, beliau membuat keputusaan untuk memilih tawaran biasiswa daripada Petronas kerana ia mempunyai reputasi terbaik selain melihat pengalaman salah seorang saudara beliau yang pernah menerima biasiswa melalui program sama dan kini sedang sedang berkhidmat dengan syarikat tersebut.

“Selain daripada biasiswa, PESP juga menawarkan kem kepimpinan, pelbagai program yang dapat membantu pelajar dan juga elaun buku yang tinggi serta membimbing para pelajar untuk mencapai impian mereka,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga bakal melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang Perakaunan turut berkongsi cabaran yang dihadapi oleh para pemohon sebelum layak menerima PESP.

“Para pemohon diperlukan untuk menduduki peperiksaan High Order Thinking Skills Assessment dari Cambridge. Sebagai persediaan dan latihan, saya muat turun beberapa set soalan dari atas talian dan cuba menjawab.

“Soalan yang dikemukakan memang beraras tinggi, jadi adalah penting untuk para pemohon mempunyai pengetahuan yang luas. Sekiranya gagal di peringkat ini, bermakna anda tidak layak ke peringkat kedua di mana anda perlu menghadapi sesi temubual yang memerlukan pemohon mempersembahkan idea dan bediskusi bersama barisan panel,” jelas beliau.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini juga berterima ksih kepada ibunya, Rubiah Hussain yang tidak mengenal erti jemu membesarkan mereka setelah ayah beliau, Mohd Zahir meninggal dunia enam tahun lalu.

Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, sejak dilaksanakan 43 tahun lalu, program tersebut telah memberi manfaat kepada lebih 36,000 penerima.

Katanya, sehingga kini, Petronas telah membelanjakan sebanyak RM3.2 bilion untuk biasiswa kepada pelajar bagi melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang.

“Di Petronas, kami percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan dan pembangunan modal insan dapat memastikan kelestarian bekalan tenaga kerja yang terpelajar dan berkemahiran tinggi.

“Oleh itu, kami di Petronas berazam untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan yang mampu menjadi pemangkin kepada industri dan keperluan negara pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan PESP kepada 210 penerima di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, hari ini.

Penyerahan tajaan tersebut turut disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik dan Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd. Rahman.

Pada majlis berkenaan, seramai 210 penerima menerima biasiswa masing-masing manakala selebihnya disampaikan dalam majlis yang diadakan Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Terengganu.

Menurut Wan Zulkiflee, pada tahun ini, pihaknya menerima kira-kira 8,000 permohonan untuk PESP dan daripada jumlah itu seramai 1,450 telah disenarai pendek untuk menghadiri Petronas YoungStars Day (PYD).

Katanya, di bawah PESP, penerima biasiswa akan melanjutkan pengajian mereka di peringkat ijazah dalam bidang berkaitan sama ada di UTP atau universiti luar negara seperti di Australia, New Zealand, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat.