IPOH: Seramai 3,338 pesakit buah pinggang telah menerima rawatan dialisis di negeri Perak setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan , Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, daerah Kinta mencatat bilangan pesakit buah pinggang yang menerima rawatan dialisis yang paling ramai iaitu 1,300 orang.

Menurut beliau, ia diikuti Daerah Larut Matang dan Selama 405 orang dan ketiga Daerah Manjung seramai 395 orang pesakit buah pinggang.

“Terdapat seramai 682 pesakit yang menerima rawatan dialisis di hospital dan klinik kerajaan di Perak manakala 506 pesakit buah pinggang dalam senarai menunggu untuk ditempatkan di hospital dan klinik kerajaan,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) semasa sidang DUN Perak pada Rabu.

Beliau menjelaskan bahawa bilangan mesin dialysis di hospital dan klinik kesihatan kerajaan bertambah dari tahun ke tahun bagi menampung lebih ramai pesakit dialysis di negeri ini.

Mengenai pembayaran untuk rawatan dialysis, Dr Mah memberitahu, bagi satu sesi rawatan di hospital dan klinik kerajaan, pesakit perlu membayar sebanyak RM13 berbanding RM160 hingga RM200 di pusat dialysis swasta.

Katanya, bagi pesakit yang tidak mampu, mereka akan dirujuk ke Unit Kerja Sosial Perubatan atau Pegawai Kebajikan Masyarakt bagi mendapatkan pengurangan bayaran rawatan dialisis .

“Bagi kakitangan perkhidmatan awam atau pesara yang menerima pencen serta ahli keluarga mereka layak untuk mendapatkan kemudahan perubatan percuma di hospital dan klinik kerajaan,” ujarnya.

Bbagaimanapun, kata Dr Mah, dalam keadaan tertentu yang mana hospital dan klinik kerajaan tidak dapat menyediakan kemudahan perubatan tertentu, kakitangan perkhidmatan awam atau pesara perlu mendapatkannya di sektor swasta dan boleh menuntut semula bayaran kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Selain itu, katanya, seramai 793 penerima mendapat skim bantuan hemodialisis dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi tahun 2016 berbanding 725 penerima pada tahun 2015.