IPOH: Sebanyak 3,400 hektar kawasan telah dibangunkan sebagai padang ragut di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, jumlah itu adalah 80 daripada 85 kawasan padang ragut yang diwartakan.

Menurut beliau, melalui pembangunan padang ragut berkenaan, ternakan penduduk setempat adalah terkawal, sekaligus dapat mengelakkan maslaah ternakan terbiar.

“Di samping itu, ia juga memberikan hasil sampingan kepada penduduk berkaitan dan juga membantu mengekalkan kemampanan ternakan ruminant negara,” katanya ketika menjawab soalan lisan Loh Sze Yee (DAP-Jalong) di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini

Saarani berkata, isu haiwan berkeliaran adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti yang terkandung di dalam Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan 1976), seksyen 80 dan 81 melibatkan kacau ganggu awam.

Bagaimanapun, kata beliau, Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa bekerjasama dengan PBT yang terlibat untuk menjalankan operasi menangkap haiwan tersebut yang boleh mengancam keselamatan orang ramai.

Menurutnya, bagi mengurangkan masalah lembu berkeliaran di negeri Perak, aktiviti tangkapan secara berkala telah dilakukan PBT dengan kerjasama swasta, agensi kerajaan dan JPV.

Selain itu, katanya, penggunaan cip RFID pasif yang diimplan di antara kulit pada ternakan ruminant telah mula digunapakai dengan pembangunan pengkalan data bagi tujuan kawalan pencegahan penyakit dan ternakan terbiar.

Beliau memberitahu, kerjasama penggunaan RFID ini telah dimulakan di daerah Larut Matang dan Selama serta Manjung dengan kerjasama MARDI dan ia masih dalam proses kajian dan percubaan.