SUNGAI SIPUT – Seorang tahanan ditemui mati dengan keadaan tergantung di dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Sungai Siput kira-kira jam 12.10 tengah hari Rabu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, mangsa berusia 39 tahun itu telah ditemui oleh anggota polis yang sedang membuat tugas rondaan rutin dalam keadaan tergantung dengan menggunakan baju T yang dibekalkan kepadanya.

“Ketika kejadian, simati berada berseorangan dalam lokap. Pegawai perubatan daripada Hospital Sungai Siput yang tiba di tempat kejadian mengesahkan simati telah meninggal dunia.

“Inkuiri telah dibuat oleh seorang koroner dari Mahkamah Majistret Sg. Siput dan mayat simati telah dihantar ke Hospital untuk bedah siasat dan sebab kematian adalah “neck compression due to hanging” dan tiada kecederaan lain ditemui,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Tambah beliau, mangsa yang berstatus duda itu telah ditangkap oleh polis berkaitan dadah di bawah seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah pada Isnin lalu.

Katanya, mangsa mempunyai empat rekod kesalahan lampau melibatkan dadah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.