KUALA KANGSAR – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan pemergian Ahli Parlimen Kuala Kangar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebagai satu kehilangan besar untuk kerajaan negeri.

Beliau berkata, kehilangannya amat dirasai kerana Allahyarham merupakan seorang ahli politik muda yang mempunyai keperibadian yang mulia dan sangat bekerja keras.

 

“Beliau bukan seorang ahli politik mencari musuh, tutur katanya baik lemah lembut.

“Seorang ahli politik yang bekerja begitu keras untuk negaranya untuk memberi terbaik kepada negaranya.

“Saya yakin, bukan hanya saya dapat merasainya tetapi turut dikalangan penduduk di parlimen, rakan-rakan turut sama-sama merasai kehilangan besar ini,” katanya pada sidang media sejurus selesai majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan bersebelahan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar pada Ahad.

Tambah beliau, Wan Khair-il sudahpun dianggap bagaikan keluarga bagi dirinya termasuk isteri serta empat orang anak lelaki Allahyarham.

“Saya kenali beliau sejak mula berkecimpung dalam bidang politik seawal 90an lagi. Dia umpama keluarga, dengan anak-anak beliau juga rapat dengan saya begitu juga isteri beliau rapat dengan isteri saya.

“Namun telah ditakdirkan bahawa beliau berakhir dalam keadaan ini dan waktu ini,” ujarnya sebak.

Beliau berkata, pertemuan terakhir dengan Allahyarham pada 1 Mei lalu ketika menghadiri majlis perkahwinan anak beliau di Ipoh.

“Saya tidak dapat melupai gurauan terakhir beliau  bersama saya dan Effendi Zahari semasa dalam majlis perkahwinan anak saya pada 1hb Mei baru-baru ini, rupa-rupanya itulah senyuman dan ketawanya yang terakhir,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Dr Zambry turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan para solihin.