IPOH – Polis Perak menahan seorang pemandu lori dan merampas heroin seberat 2,719 gram, dadah jenis methamphetamine seberat 59 gram dan tiga batang pokok ganja di sebuah rumah di Pasir Putih, Ipoh malam Rabu lalu.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, ACP Abdul Latiff Mehat, pemandu lori berumur 28 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam 11 Mei lalu oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak hasil maklumat orang awam.

 

Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM171,000 itu boleh dibekalkan untuk 2,400 orang penagih di negeri ini.

Abdul Latiff berkata, polis turut merampas sebuah kereta jenis Iswara Aeroback bernilai RM15,000 dan dua buah motosikal bernilai RM7,500.

Menurut beliau, pemandu lori itu kini ditahan reman selama tujuh hari mulai 12 Mei hingga 18 Mei ini.

Katanya, suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadad Merbahaya 1952 yang boleh dijatuhi hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Katanya, kes ini merupakan yang pertama di Perak tahun ini di mana suspek ditahan bersama rampasan dadah dan didapati menanam tiga batang pokok ganja di dalam pasu di kawasan rumah yang disewanya.