JOHOR BAHRU: Seramai 35 ahli kumpulan kongsi gelap 360 dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan membantu kumpulan itu sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh berusia antara 20 hingga 69 tahun, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin dan Tamil di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Berdasarkan kertas pertuduhan 34 daripada mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Jin Jee Tong’.

Mereka adalah Seow Hwee Kiang, Lee Boon Hui, Fung Ka Siong, Chua Kah Tat, Mah Jia Fei, Lai Kah Fei, Wilson Chua Yue Hua, Lim Wen Hao, Eugene Chiam Tow Shen, Chan Chun Fei, Yap Boon Chuan dan Benny Chang Xin Hao.

Selain itu, Lau Fook Soon, Liew Yun Choy, Jacky See Jiin Long, Ng Zhen Lun, Ng Soon Kiat, Lim Heng Kiaw, Wong Jin Wei, Dinesh Balakrishnan, Sau Kah Kwee, Ong Hwee Hau, Lew Kai Yann, Kok Kat Ting dan Koh Xian Ming.

Turut berdepan pertuduhan sama, Lim Thiam Poon, Eric Mah Wai Soon, Tan Hong Chai, Tan Chee Hong, Leong Wen Hao, Gan Jia Ji, Yip Kah Hao, Fong Ling Chiow, Leong Zhong Hen.

BERITA TERDAHULU:  ‘Geng 360’ tumpas di johor

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu Tan Xiang Wei, 22, didakwa membantu kumpulan jenayah terancang bagi mencapai kepentingan kumpulan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan Akta 574 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Semua mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara 1 Januari 2015 hingga 14 Januari lalu, di daerah Johor Bahru Selatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Muhammad Fadzlan Mohd Noor.

Antara peguam mewakili tertuduh, Najib Zakaria, M Vinodharan, Jason Tan, Datin Freda Sabapathy, Melisa Abdul Kadir, Wan Zaleha Abdul Wahab, Wan Aizuddin Wan Mohd dan Muhammad Farhan Shafee.

Mahkamah menetapkan 12 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Terdahulu semua tertuduh dibawa menaiki trak polis kira-kira jam 8 pagi dengan dikawal ketat anggota polis bertugas di sepanjang laluan ke kompleks mahkamah hingga ke Mahkamah Sesyen 3 di sini.

Semua tertuduh dengan tangan bergari kemudian dibawa masuk ke dalam mahkamah pada jam 8.45 pagi bagi mendengar pertuduhan terhadap mereka bermula jam 10.30 pagi.

Pertuduhan terhadap semua tertuduh dilakukan selama kira-kira setengah jam dan berakhir pada jam 11 pagi.

Bagi memastikan keadaan mahkamah tidak sesak, semua ahli keluarga tidak dibenarkan masuk dan lokasi mahkamah juga dikawal ketat oleh sepasukan anggota polis.

Kumpulan wartawan juga hanya dibenarkan masuk selepas menunjukkan pas perakuan media.

Akhbar hari ini melaporkan polis Johor menumpaskan kumpulan kongsi gelap, Geng 360 yang dipercayai aktif selama lebih 20 tahun susulan penahanan 35 lelaki di seluruh negara sejak Disember tahun lalu.

Tangkapan dibuat hasil operasi khas dengan bantuan Bukit Aman susulan pembunuhan seorang ahli kongsi gelap di sebuah stesen minyak Taman Pelangi, Johor Bahru pada 17 Disember 2017.

Geng 360 adalah pertubuhan haram yang mempunyai kaitan rapat dengan kes pembunuhan berkenaan dan polis mengenal pasti hampir 100 individu terbabit dengan kumpulan terbabit – berita harian