KUALA LUMPUR – Sebanyak 35,886 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara sehingga semalam dengan kebanyakan negeri kecuali Sarawak menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada minggu ke-30 tahun ini iaitu sehingga semalam sebanyak 469 premis ditutup dan melibatkan 217 taska dan 223 tadika atau prasekolah, beberapa kelas dari 27 sekolah, sebuah (1) sekolah di Pulau Pinang dan sebuah (1) sekolah lagi di Pahang, yang mana pada masa ini kedua-dua sekolah ini telah ditutup sepenuhnya.

“Ini menjadikan pada minggu epid 29/2018 (15/07/2018 hingga 21/07/2018) sebanyak 3,852 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan berbanding minggu epid 28/2018 (08/07/2018 hingga 14/07/2018) sebanyak 2,346 kes; iaitu peningkatan sebanyak 1,506 kes yang bersamaan 64.2%,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus, khususnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (E71) yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Dr Noor Hisham berkata berikutan jumlah kes HFMD yang melebihi paras amaran bagi semua negeri, KKM telah mengadakan satu mesyuarat antara agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam pemantauan taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah rendah.

“Satu mesyuarat telah diadakan pada 19 Julai 2018 bertujuan untuk membincangkan strategi bagi pencegahan dan kawalan HFMD yang melibatkan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang telah bersetuju untuk bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mencegah dan mengawal HFMD,” katanya lagi.

Antara langkah pencegahan dan pengawalan yang telah dibincangkan ialah pelaksanaan dan pengukuhan saringan di pintu masuk taska, tadika, pra sekolah dan sekolah rendah tahap satu (darjah 1 hingga 3) bagi memastikan hanya kanak-kanak yang tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sahaja yang dibenarkan masuk ke kelas, meningkatkan tahap kebersihan di luar dan di dalam premis, termasuk kebersihan alatan mainan kanak-kanak dan keperluan disinfeksi harian setiap kali sesi persekolahan tamat serta penambahan bilangan dan liputan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran dan keprihatinan ibu bapa, guru dan kanak-kanak termasuk murid sekolah mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Ini termasuk juga cara membasuh tangan yang betul, membuang sampah di tong sampah yang disediakan, serta mencuci tangan selepas ke tandas, sebelum dan selepas makan, tambah Dr Noor Hisham.

“Mesyuarat juga turut dihadiri oleh pegawai dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membincangkan kebersihan taman permainan di pasaraya dan kompleks membeli belah. Cadangan menyediakan cecair pencuci tangan di tempat terbabit perlu diteliti dan dibincangkan lebih lanjut bagi pelaksanaannya.

“Mesyuarat berpendapat pentingnya tanggungjawab sosial korporat dalam melaksanakan inisiatif ini kelak, di mana dengan kolaborasi ini diharapkan dapat membantu pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penyakit HFMD,” tambah beliau.

Dalam pada itu, kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11/2016 telah memberi cuti kuarantin kepada kakitangan Kerajaansekiranya anak atau jagaannya menghidap enam jenis penyakit termasuk HFMD. Ia bagi memudahkan ibu atau bapa menguruskan anak khususnya apabila dimasukkan ke wad atau apabila pusat jagaan anak diarahkan tutup oleh pihak berkuasa.

Wakil Persekutuan Majikan-majikan Malaysia yang turut serta dalam mesyuarat ini akan meneliti perkara ini dari segala aspek termasuk perundangan, sekiranya langkah yang sama hendak diambil oleh sektor swasta.

Dr Noor Hisham berkata, hasil mesyuarat tersebut merupakan langkah bagi memperkukuhkan kolaborasi di antara pelbagai kementerian, agensi dan pelbagai pemegang taruh dalam kawalan serta pencegahan penyakit HFMD.

KKM berharap agar kerjasama bersepadu dari semua pihak ini akan dapat mengurangkan kejadian wabak dan penularan jangkitan HFMD di Malaysia dalam masa terdekat dan berterusan.