IPOH: Kompleks Mahkamah Rendah Ipoh hari ini menyaksikan suatu kelainan hari ini apabila dipenuhi dengan anggota keselamatan, pengamal media serta orang awam yang memenuhi perkarangan bagi proses pendakwaan 36 anggota kongsi Gelap Geng 04 pagi tadi.

Sejak awal pagi lagi bangunan mahkamah menjadi tumpuan berikutan berita mengenai 36 anggota kumpulan ini yang merupakan dalang kepada banyak kes jenayah terancang di negara ini dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan atau lebih dikenali dengan SOSMA.

BERITA TERDAHULU:Polis guna CID All Black bawa 36 Geng 04 ke Mahkamah

BERITA TERDAHULU: 35 Ahli Kongsi Gelap Didakwa

Pihak polis telah membuat kawalan keselamatan yang amat ketat sekali disebabkan ahli kumpulan kongsi gelap ini amat digeruni berikutan rekod penglibatan kumpulan ini dalam kes-kes jenayah berat.

Malah laluan ke mahkamah Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab ditutup sementara bagi memberi laluan kepada dua kenderaan black maria yang membawa tertuduh diiringi lapan kenderaan polis yang lain.

Dengan kehadiran 104 anggota daripada unit CID All Black berserta 11 pegawai polis kes ini agak luar biasa apabila pendakwaan dilakukan dalam Mahkamah Syesen tertutup.

Kesemua tertuduh berusia di antara 20 hingga 60 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang membawa kepada hukuman penjara selama 20 tahun jika disabitkan bersalah.

Tertuduh adalah Mohamed Shariff Mohamed Ibrahim, Muhamed Sidik Mohamed Ibrahim, A. Kughan, M. Perbakaran, R. Sargunan, B. Murli, J. Thiruselvam, K. Thiruchelvan, K. Kugan, A. Samuel Dhinakaran, M. Ganesan, K. Sattiyarao, S. Vijendran, B.K. Chandran, N. Michael Raj, T.S. Kavitheian, C. Tinabalan, K. Selvam, T. Kamal, Abdul Rahman Subbaiah Salim, S. Thatchana Moorthy, M. Selva, S. Jesudass, K. Kartikkesan, S.D. Kevin, P. Jeventhyren, M. Munian, R. Kesavan, P.A. Fatri, L. Tamil Selven, F. Niclos, S.K. Jagathesan, R. Paramesh Rao, S. Kalidas, A. Govalsamy, and K. Arun  yang kesemuanya hadir di mahkamah.

Dalam pada itu, pengamal media yang membuat liputan tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik pendakwaan dan tidak dijelaskan secara terperinci sebab utama arahan sedemikian samada faktor keselamatan atau sebaliknya.

Difahamkan, pertuduhan ke atas kesemua 36 ahli berkenaan telah dibacakan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Tamil.

Tiada sebarang rayuan direkodkan manakala 16 daripada tertuduh diwakili oleh peguam dan selebih 20 ahli pula tidak diwakili peguam.

Pendakwaan pula dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin dan Mohd Izharuddin Alias.

Hakim Mahkamah Syesen Murtazadi Amran tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan menetapkan 20 Mac depan bagi tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, kalangan orang awam yang hadir dipercayai ahli keluarga tertuduh-tertuduh  kelihatan cuba mendapatkan peluang untuk mendekati atau melihat ahli kumpulan kongsi gelap itu dalam jarak sedekat yang boleh.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan dilaporkan berkapata kesemua yang ditangkap merupakan pemimpin tertinggi ahli kumpulan jenayah terancang termasuk kes bunuh seorang wanita bergelar Datin di Brinckfields, Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Katanya 26 daripada mereka ditangkap di sekitar Perak, Selangor, Melaka dan Johor manakala 10 lagi di Pokok Sena, Kedah, Sungai Udang, Melaka serta Batu Gajah dan Taiping, Perak.

Penangkapan mereka disertakan dengan rampasan harta dan wang tunai bernilai lebih RM4.54 juta.