PULAU PANGKOR : Seramai 36 pelajar sekolah seluruh Perak dilaporkan positif Influenza A (H1N1) setakat ini.Wabak itu turut menyaksikan Sekolah Menengah Sains Teluk Intan ditutup mulai Sabtu selepas lapan pelajarnya disahkan positif Influenza A.

Menurut jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Perak, buat masa ini pihak sekolah berkenaan sedang melakukan kerja-kerja pembersihan terutamanya di kawasan asrama dan sekolah dijangka dibuka semula 19 Januari ini.

Sementara itu, Exco Kesihatan Negeri Perak, A. Sivanesa berkata, hanya pelajar yang serius sahaja yang akan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

“Yang mana tidak perlu untuk admit ke hospital, pihak hospital tidak akan admit, kita akan bagi ubat dan hantar dia balik.

“Kalau perlu admit kita akan admit dan berkaitan dengan vaksin, ubat-ubatan dan sebagainya, di negeri Perak adalah mencukupi buat masa ini.

“Warga Perak tidak perlu bimbang kerana doktor-doktor, khususnya di 14 buah hospital di negeri ini telah bersiap sedia,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan ke beberapa buah premis perniagaan di Pulau Pangkor, pada Isnin.

Dalam pada itu, menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Perak, kes Influenza A melibatkan pelajar di beberapa sekolah berlainan dan di beberapa daerah di negeri ini.

Menurutnya, ia dapat dikawal melalui pendekatan yang ditetapkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan dan Jabatan Kesihatan Negeri.