IPOH: Seramai 36 orang yang dikhuatiri sesat ketika melakukan aktiviti jelajah hutan di Tanjung Malim, petang semalam, ditemui dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun, mereka dikatakan dari sebuah syarikat korporat, bukannya pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), seperti laporan awal.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, operasi menyelamat yang tamat pada jam 5.15 pagi itu melibatkan anggota bomba, polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Dipercayai semua mangsa terdiri daripada kakitangan syarikat korporat dari Kuala Lumpur yang melakukan aktiviti jungle treking.

“Mangsa dipercayai sesat dan terperangkap di dalam hutan, selain sukar keluar akibat gelap dan arus deras serta berbahaya.

“Semua mangsa melibatkan 36 orang merangkumi empat jurulatih dan 32 orang peserta kursus dengan jumlah wanita seramai 17 orang manakala lelaki 15 orang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi, semua mangsa ditemui dalam keadaan keletihan oleh anggota penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima laporan kehilangan mereka.

“Sebanyak tiga anak sungai terpaksa ditempuh untuk membawa mereka keluar dan satu sungai perlu menggunakan teknik tensioness diagener (menggunakan tali).

Dalam pada itu, semua mangsa ditemui dalam jarak dua kilometer dari kawasan dipercayai tempat permulaan aktiviti jelajah hutan itu.

Menurutnya, ia mengambil masa selama lebih satu jam berjalan menempuh hutan untuk sampai ke kawasan mereka ditemui selain beberapa titik balak terpaksa dilalui untuk sampai ke kawasan itu.

Semalam kesemua mangsa pada mulanya dikatakan UTM yang melakukan aktiviti merentas hutan di belakang resort River View dikhuatiri sesat.

Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim Zaini Salleh berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kumpulan terbabit pada pukul 6.25 petang semalam.

Bagaimanapun laporan terbaharu mengatakan semua mangsa terdiri daripada kakitangan syarikat korporat dari Kuala Lumpur.