IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menyampaikan anugerah bintang dan pingat Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) kepada 362 penerima dari negeri ini dalam satu majlis penganugerahan di sini.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan Sijil Pengakap Raja kepada 311 ahli Pengakap Negeri Perak yang menerima anugerah itu bagi tahun 1998 hingga 2016.

Anugerah Pengakap Raja merupakan pencapaian tertinggi bagi seseorang ahli yang juga simbol kejayaan Pengakap Remaja yang berjaya menamatkan skima Lencana Pengakap Raja.

sultan_pengakap 5Mendahului senarai penerima ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kesenian Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang dianugerahkan Bintang Semangat Rimba Kelas Kedua Perak (BSR II).

Turut menerima anugerah sama ialah Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Mat Lazim Idris.

BSR II adalah anugerah keempat tertinggi PPM dan dianugerahkan kepada tokoh-tokoh yang telah memberi perkhidmatan dan bakti kepada pergerakan Pengakap.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan pingat kepada 49 orang penerima meliputi Pingat Perkhidmatan Gemilang (PPG); Pingat Perkhidmatan Cemerlang; Bintang Dato’ Seri Maharaja Lela (Perak); Pingat Dato’ Sagor (PDS) – Emas; Pingat Jasa Pengakap (PJP); Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) dan Pingat Perkhidmatan Baik (PBB).

Turut menyaksikan upacara itu ialah Menteri Besar. Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Pengakap Negara, Tan Sri Dr. Mohd Shafie Mohd Salleh dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak, Ahmad Azam Shah Abd Majid.