PUTRAJAYA: Kira-kira 385,000 pekerja asing yang berkhidmat dalam pelbagai sektor di Malaysia kini mendapat perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak kerajaan mewajibkan dasar berkenaan, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata dasar sama rata yang cuba diwujudkan kerajaan itu selaras perkembangan semasa yang menyaksikan peningkatan kes kemalangan di tempat kerja, membabitkan buruh asing.

Selain itu, katanya, ia adalah pendekatan timbal balik, memandangkan ramai rakyat Malaysia ketika ini berada di luar negara untuk bekerja dalam pelbagai sektor bagi menampung kehidupan ahli keluarga, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai tanggungjawab kerajaan merangka dasar sama.

“Ia perlu dilakukan bagi menangani diskriminasi kerana kira-kira 1,000 rakyat Malaysia bekerja di luar negara. Kalau kita mahu perlindungan yang saksama dan sepatutnya kepada rakyat Malaysia di sana, maka perkara sama harus dibuat.

“Oleh itu, kita perluaskan perlindungan PERKESO dan mewajibkan setiap majikan yang menggaji buruh asing menjadi pencarum,” katanya pada sidang media sempena setahun Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pemerintahan, di sini, hari ini.

Ketika dilantik menyandang jawatan menteri pada 21 Mei, tahun lalu, Kulasegaran menyemat dua janji utama, iaitu untuk menghapuskan amalan rasuah yang sebelum ini didakwa menular di pelbagai peringkat bidang kuasa membabitkan Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata, janji berkenaan setakat ini melakar kejayaan apabila tiada kes pecah amanah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa direkodkan sepanjang hampir setahun menerajui tampuk pentadbiran kementerian.

“Integriti dan keyakinan, khususnya membabitkan menteri, timbalan menteri dan pegawai di kementerian didapati semakin meningkat, justeru mencerminkan arus perubahan positif ke arah kelancaran proses tadbir urus kerajaan.

“Janji kedua ialah untuk mengetatkan kegiatan penguatkuasaan, namun ia amat mencabar kerana kita berdepan kekangan jumlah pegawai dan tiada peruntukan mencukupi bagi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menambah bilangan anggota,” katanya.

Menceritakan cabaran paling sukar, Kulasegaran berkata, isu berkaitan pekerja asing di Malaysia seakan tiada penghujung walaupun pelbagai usaha bagi menangani rangkaian polemik dilaksanakan kerajaan, mencakupi kerjasama agensi berkaitan.

“Tak sudah-sudah, sejak hari pertama jadi menteri, itulah usaha utama saya. Ramai mungkin tidak tahu sebenarnya kementerian saya hanya kendalikan proses permohonan dengan meneliti butirannya.

“Setiap permohonan kemudian akan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk diproses,” katanya – Berita harian