KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan kerana disyaki menolak teman wanitanya jatuh dari tingkat 19 sebuah blok kondominium di Batu 4 1/2 Jalan Ipoh, di sini, Sabtu lalu.

Polis menahan suspek selepas pemeriksaan lanjut mendapati mangsa berusia 20 tahun yang disahkan maut di kawasan parkir di tingkat tiga blok itu, dipercayai ditolak jatuh dari aras tinggi.

Menurut sumber, polis menerima panggilan kecemasan pada jam 6 pagi daripada pengawal keselamatan kondominium terbabit selepas menjumpai mayat mangsa di lokasi kejadian.

Katanya, saksi dalam soal siasat awal mendakwa berlaku pertengkaran antara mangsa dengan suspek pada jam 5.45 pagi sebelum wanita itu diarahkan keluar dari sebuah unit kediaman di tingkat 19 blok kondominium terbabit.

“Sebaik keluar dari rumah itu, mangsa dikatakan naik ke atas tembok kaki lima di hadapan kediaman terbabit.


“Mangsa dikatakan bergayut di sebelah luar tembok itu sebelum terjatuh dari tingkat 19 ke tempat meletak kenderaan di tingkat tiga blok berkenaan.

“Berdasarkan keterangan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, sumber berkata, pemeriksaan lanjut polis di lokasi kejadian mendapati wujud kemungkinan mangsa ditolak menyebabkannya terjatuh.

“Berikutan itu, polis menahan teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan. Menurut maklumat diperoleh, suspek dan mangsa tinggal bersama di sebuah unit kediaman di tingkat 19 kondominium berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

“Berdasarkan keterangan saksi, pasangan kekasih itu dilihat sering bergaduh, namun tidak diketahui punca pertengkaran mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

“Suspek yang juga teman lelaki mangsa ditahan pada hari kejadian dan kini direman hingga 28 April ini (esok) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.