KUALA LUMPUR: Empat anggota polis ditahan di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor, semalam, selepas disyaki terbabit menyamun seorang peniaga runcit di Jalan Abadi 1/KU8, Klang, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, empat anggota berkenaan mengambil wang tunai berjumlah RM20,000 daripada mangsa, selain turut membawa mangsa menuju ke IPD Shah Alam menaiki sebuah kereta.

Sumber polis berkata, mangsa yang juga warga Bangladesh turut digari dan dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta dengan tujuan mendapatkan wang tunai berjumlah RM30,000.

“Peniaga berkenaan didatangi empat lelaki sebelum mengambil wang tunai RM20,000, selain turut menggari mangsa dan membawa warga Bangladesh itu menaiki sebuah kereta Honda Civic.

“Mereka kemudiannya membawa mangsa menuju ke IPD Shah Alam. Difahamkan, mangsa dibawa kerana suspek mahu mendapatkan wang berjumlah RM30,000 daripadanya,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, sepasukan polis Cawangan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara membuat tangkapan terhadap empat anggota polis itu di luar pagar perkarangan IPD Shah Alam.

“Semua suspek berusia 22 hingga 44 tahun adalah anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Siasatan awal mendapati keempat-empat suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu.

“Kita turut merampas wang tunai milik mangsa, dua kereta, telefon bimbit mangsa dan suspek, buku hutang, kad ATM, kad kuasa, sepucuk pistol serta satu gari untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor ketika dihubungi, di sini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dan menahan empat anggota berkenaan – berita harian