KOTA KINABALU: Seorang ibu bersama tiga anak, termasuk dua anak perempuannya bukan saja ditahan kerana memiliki dua paket berisi dadah jenis syabu, tetapi rumah mereka di kawasan setinggan di Kampung Lokub, Sepanggar, di sini, akan dirobohkan.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang turut serta dalam Ops Sarang di empat kawasan di Sepanggar, di sini, malam kelmarin yang disyaki ‘port’ penagih dan pengedaran.

Empat beranak itu ditahan di rumah mereka selepas pemeriksaan menemui dua paket berisi dadah jenis syabu, dengan seorang anak lelakinya berusia 20-an turut positif dadah jenis syabu.

Ketika serbuan, semua mereka sedang asyik berborak sebelum terkejut apabila menyedari kehadiran polis dan pemeriksaan menemui dua paket plastik berisi dadah syabu di ruang tamu rumahnya, sebelum ibu kepada tiga anak itu merayu dan menafikan dadah itu miliknya.

Menurut Mohd Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, beliau tidak akan berkompromi dengan jenayah pengedaran dan penagihan dadah khususnya di Sepanggar.

“Sudahlah mereka tinggal di kawasan setinggan, mereka pula melakukan perkara seumpama ini (mengedar dan menagih dadah).

“Jadi, saya tidak akan berkompromi dan akan membenarkan rumah dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) jika mereka menyembunyikan atau bersekongkol dengan pengedar dadah, termasuk jika ada dalam kalangan isi rumah yang mengedar dadah.

“Kita tidak mahu berkompromi dengan hal ini kerana disebabkan dalang kepada pengedaran dadah ini, masa depan anak-anak kita akan musnah.. ia perlu dibanteras,” katanya ditemui dalam operasi berkenaan, di sini awal pagi tadi.

Operasi yang bermula pada jam 9 malam hingga 1.30 pagi semalam itu diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Ia dilakukan di Kampung Lokub, Lok Buno, Taman Jaya Diri dan Taman Bukit Sepanggar, dengan 46 termasuk tiga perempuan diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 31 ditahan termasuk tiga perempuan.

Semua yang ditahan akan di bawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) akta sama dan Seksyen 15(1)(a) juga akta sama.

Mohd Azis berkata, operasi ini bukan hanya dilakukan di kawasan Sepanggar tetapi juga seluruh Sabah, bagi membanteras dalang di sebalik aktiviti ini.

Sementara itu, Habibi berkata, operasi ini adalah kerjasama polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah.

“Operasi ini akan digerakkan secara berterusan bagi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini seperti yang disuarakan oleh Datuk Aziz untuk menghapuskan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan Sepanggar sepenuhnya,” katanya – berita harian