KUALA LUMPUR: Empat lelaki, termasuk seorang warga tempatan, ditahan kerana disyaki merancang melancarkan serangan terhadap rumah ibadat dan pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi di negara ini.

Serangan dipercayai bermotifkan dendam bagi menuntut bela atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield pada tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata semua suspek disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas Daesh itu ditahan pasukan Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dalam empat siri serbuan antara 5 hingga 7 Mei lalu di Terengganu dan Lembah Klang.

Beliau berkata, serbuan dilakukan susulan polis mengesan satu sel ‘wolf pack’ disyaki merancang melancarkan operasi pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi dan serangan berskala besar ke atas tempat ibadat Kristian, Hindu dan Buddha serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

“Keempat-empat suspek ditahan itu mengaku menganggotai sel ‘wolf pack’ pengganas Daesh dan bersedia melancarkan serangan berskala besar di Malaysia pada minggu pertama Ramadan.

KETUA Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador. – NSTP/Luqman Hakim Zubir

Semua suspek disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas Daesh.

“Mereka juga disyaki merancang melakukan operasi pembunuhan terhadap personaliti berprofil tinggi yang dituduh tidak memperjuangkan Islam,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, tangkapan pertama pada 5 Mei lalu membabitkan seorang lelaki warga tempatan dipercayai ketua kumpulan ‘wolf pack’ berusia 34 dan bekerja sebagai buruh binaan di Kuala Berang, Terengganu.

“Hasil tangkapan, polis turut menemui enam bahan letupan buatan sendiri (IED) yang diperoleh dari negara jiran dan sepucuk pistol jenis CZ 9mm bersama 15 butir peluru.

“Kita mengesyaki dia ada hubungan dengan rakyat Malaysia yang juga Ketua Militan Daesh, Akil Zainal.

“Tangkapan seterusnya dibuat pada 7 Mei lalu di beberapa kawasan Lembah Klang membabitkan dua lelaki warga Rohingya berumur 20 dan 25 tahun serta seorang lelaki warga Indonesia berusia 49 tahun,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang mengesan tiga lagi individu disyaki terbabit dalam merancang serangan ke atas rumah ibadat.

“Dua daripada mereka adalah rakan sekampung, Syazani Mahzan dan Muhamad Nuurul Amin Azizan, berasal dari Taman Bedong, Kedah.

“Seorang lagi adalah lelaki warga Indonesia, Fatir Tir, yang juga buruh binaan dengan alamat terakhir di Jalan Toman, Banting, Selangor,” katanya.

Orang ramai yang ada maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan S Manivanan melalui nombor 017-3278435 atau menghubungi balai polis berhampiran – Berita harian