KUALA LUMPUR: Empat lelaki ditahan selepas dipercayai menyerang seorang penjaga kedai runcit di Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 8 malam itu, keempat-empat suspek menyerang dan menetak mangsa menggunakan parang dan turut disyaki melarikan sejumlah wang daripada kedai runcit terbabit.

Sumber berkata mangsa didatangi seorang lelaki yang bertanya mengenai sebuah walkie-talkie.

“Lelaki itu bertanya kepada mangsa jika ada menemui sebuah walkie-talkie, mangsa kemudian menjawab tiada.

“Selang seminit kemudian, tiba-tiba datang tiga lagi lelaki bertanya soalan yang sama, tetapi kali ini selepas bertanya mereka menyerang mangsa dengan parang mengakibatkan mangsa cedera di tangan dan bahu kiri.

“Salah seorang pelanggan mangsa kemudian memaklumkan nampak sebuah kereta jenis BMW yang digunakan salah seorang suspek yang turut melarikan wang tunai berjumlah kira-kira RM400 daripada laci kedai runcit berkenaan.

“Sementara seorang rakan kepada mangsa mendakwa ternampak empat orang lelaki menggunakan dua buah motosikal merosakkan bahagian belakang kedai runcit itu,” katanya.

Sumber berkata, keempat empat suspek kemudian ditahan pada malam yang sama di sekitar Nilai.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan sedang dijalankan – berita harian